SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Menengah Arab Assaiyidah Khadijah ini telah diasaskan pada bulan Januari, tahun 1980 oleh Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan dinamakan Sekolah Menengah Majlis Agama Islam Merlimau (SMJAIM/LAPIS), selepas kementerian Pelajaran mengambil alih pentadbiran SMA Sultan Muhammad dan SMA Sharifah Rodziah. Sementara menanti bangunan sekolah sendiri siap dibina, warga sekolah ini terpaksa menumpang di bangunan Sekolah Rendah Agama Merlimau dengan 3 Bilik Darjah, 1 Perpustakaan dan 1 Pejabat. Pada peringkat awalnya bilangan guru di sekolah ini hanya tujuh orang sahaja, terdiri daripada seorang Pengetua, 4 orang Akademik dan 2 orang guru Bahasa Arab.
     Pada tahun 1981, warga sekolah terpaksa berpindah ke bangunan usang Sekolah Kebangsaan Merlimau kerana pertambahan pelajar. Bangunan tersebut mempunyai 7 bilik darjah, 1 Perpustakaan , 1 Pejabat, 1 Bilik Guru dan Asrama Puteri. Hasil sumbangan kerajaan Libya sebuah asrama untuk pelajar putera dan sebuah kantin yang dikongsi bersama dengan Sekolah Kebangsaan Merlimau juga telah didirikan. Mulai tahun 1983, sekolah ini telah menerima guru-guru dan buku-buku teks yang dipinjamkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
     Pada awal Januari 1991, warga sekolah ini telah berpindah dan menumpang untuk kali kedua di bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum dan sesinya berjalan sebelah petang disatu blok bangunan sahaja. Sejarah perpindahan warga sekolah ini tidak berhenti di situ sahaja, kerana sekali lagi dalam tahun 1992, mereka terpaksa berhijrah dan menumpang di bangunan Sekolah Rendah Agama Pulai dan Balai Raya Pulai.
      Setelah beberapa kali berpindah dan menumpang di bangunan sekolah lain, akhirnya pada tarikh 11 Disember 1991, majlis perletakan batu asas sekolah ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tan Sri Haji Abdul Rahim bin Tamby Chik di Kompleks Penghulu Serkam. Walau bagaimanapun, bangunan sekolah tersebut hanya dapat disiapkan dalam bulan Mac, 1993.
Akhirnya, setelah 10 tahun menumpang dan berpindah randah pada tahun 1993, warga SMAM mula menduduki bangunan sendiri yang terdiri dari satu blok bangunan sekolah tiga tingkat yang mempunyai 13 bilik darjah, sebuah bilik guru, pejabat dan bilik pengetua serta sebuah kantin. Bilangan pelajar lelaki dan perempuan, telah meningkat kepada 486 orang, guru seramai 26 orang, seorang pembantu tadbir, seorang pembantu am rendah dan seorang jaga. Pada 18 April 1995 Ketua Menteri Melaka Y.A.B Dato’ Hj Muhammad Zain Bin Abdul Gani telah merasmikan Sekolah Menengah Agama Merlimau.
    Walaupun sekolah telah berpindah bangunan sendiri, pelajar-pelajar puteri masih kekal menumpang di bangunan asrama Sekolah Kebangsaan Merlimau manakala pelajar-pelajar putera seramai 50 orang pula telah menginap di beberapa buah rumah yang disewa di Taman Serkam Jaya, Merlimau, Melaka. Nama sekolah telah ditukar kepada Sekolah Menengah Agama Merlimau (SMAM) Pada tahun 1996, bangunan kekal asrama puteri yang terdiri daripada satu blok bangunan empat tingkat telah siap dibina dan mula diduduki oleh pelajar-pelajar puteri mulai bulan Ogos 1996. Pada tahun yang sama atas usaha PIBG bangunan surau SMAM telah siap dibina dan dirasmikan oleh Y.A.B Ketua Menteri Melaka Dato’ Abu Zahar Bin Isnin pada tahun 1997.
Walaupun sejarah penubuhan sekolah ini menempuh dan melalui pelbagai kesukaran dan kepayahan namun usaha warga sekolah ini untuk menonjolkan sebuah sekolah yang berasaskan pendidikan Islam telah menampakkan hasilnya. Secara keseluruhannya, prestasi pelajar sekolah ini di bidang akademik dan agama ternyata cemerlang dan meningkat dari setahun ke setahun baik dalam peperiksaan awam di bawah Kementeraian Pelajaran mahupun dalam peperiksaan yang dianjurkan sendiri oleh Unit Pendidikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sehingga pada tahun 1998, pelajar sekolah ini mendapat anugerah calon cemerlang dalam PMR dan SPM serta sekolah cemerlang PMR 1998 oleh Yayasan Melaka.
    Pada sesi persekolahan 1996, pengambilan masuk pelajar lelaki ke tingkatan peralihan dihentikan atas polisi JAIM untuk menjadikan SMASKM sekolah perempuan walaupun mendapat tentangan penduduk setempat PIBG pada masa itu di terajui oleh Allahyarham Tn. Hj Robani Bin Yusof telah bersetuju menjadikan sekolah ini sekolah perempuan dan diberi nama Maahad Assaiyidah Khadijah. Ekoran dari itu maka pada tahun 2002, SMASKM menjadi sekolah perempuan seratus peratus . Pada tahun 1997 atas sumbangan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bangunan makmal sains dan kemahiran hidup telah dibina dan selamat digunakan pada awal tahun 2000. Pada tahun 2000 merupakan tahun akhir bagi pelajar-pelajar lelaki. Pada tahun 2003 satu lagi sejarah bermula dengan pembukaan kelas aliran sains tulin dengan bilangan pelajar sulung seramai 14 orang.
    Memandangkan masyarakat mula sedar terhadap pendidikan agama untuk anak-anak meraka, maka sekolah ini menjadi tumpuan permintaan yang begitu menggalakkan dengan bangunan yang sedia ada tidak dapat menampung kemasukan pelajar, pada tahun 2006 JAIM telah membina 1 blok bangunan 2 tingkat mengandungi 6 bilik darjah. Kini, SMASKM mempunyai 16 bilik darjah, purata pelajar tahunan 500 orang dan 45 orang guru.
   Berdasarkan memorandum persefahaman yang telah ditandatangani di antara kerajaan Negeri Melaka dengan Bahagian Pendidikan Islam, KPM bersetuju bekerjasama bagi memurtabatkan 7 sekolah di Negeri Melaka. Menurut Kad Laporan Perlaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, KPM juga telah bejaya dalam usaha mendaftar Sekolah-sekolah Agama Rakyat / Negeri dengan KPM yang dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sekolah-sekolah ini mendapat semua kemudahan seperti yang diperoleh oleh sekolah bantuan kerajaan yang lain seperti guru-guru terlatih, emolumen guru, PCG murid dan peruntukan pengurusan. Sehingga ini, sebanyak 119 buah sekolah agama rakyat /negeri di seluruh negara telah pun mendaftar sebagai SABK dan seramai 4545 guru sekolah-sekolah tersebut telah diserap sebagai kakitangan kerajaan dan mendapat gaji berdasarkan skim pendidikan yang sedia ada.
    Pada tahun 2006, 14 buah sekolah Arab dibawah pentadbiran JAIM diserahkan kepada BPI sekolah Agama Bantuan Kerajaan sebagai SABK. Tujuh buah daripadanya adalah sekolah menengah termasuklah SMA Assaiyidah Khadijah (SMASKM). Namun begitu, urusan kurikulum Diniah , bangunan dan tanah sekolah ini masih di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan JAIM.
    Pada tahun 2010 nama singkatan SMA Assaiyidah Khadijah (SMASKM) telah bertukar dengan nama singkatan yang baru SAIKHAD. Kini SAIKHAD telah berusia 8 tahun sebagai sekolah SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan). Berbagai kemudahahan fizikal yang ditambah dan dinaiktaraf dari semasa ke semasa. Antara kemudahan yang ada ialah 16 Bilik Darjah, Pejabat, Pusat Sumber, Makmal Komputer, Bilik Guru Lelaki, Bilik Guru Perempuan, Pondok Jaga, Bilik BOSS, Kios PUM, Bilik Kaunseling, Surau, Kantin, 3 Makmal Sains, 3 Bengkel KHB, 1 Bengkel RBT, Asrama Puteri, Bilik Kokurikulum, Bilik Sakit, Koperasi, Padang Dan Astaka.
    Dari awal tahun 80 an hingga tahun 2003 semua Pengetua adalah terdiri daripada Pengetua lelaki. Bermula tahun 2004 sehingga kini kepimpinan sekolah diterajui oleh Pengetua perempuan iaitu Pn. Faridah bt Ismail (2003-2014), Pn. Juariah bt Yunos (Januari 2015- Julai 2015), Pn. Hjh Hatina bt Yaakub (Ogos 2015-Mac 2016), Pn. Hjh. Yazidah bt Yazid (April 2016-kini).
    Kurikulum agama berlaku perubahan iaitu ditukar kepada Kurikulum Diniyah Bersepadu (KBD) dan mula dilaksanakan mulai 2015 untuk menengah rendah. Tahun 2017 adalah tahun pertama kumpulan pelajar tingkatan 3 mengambil PT3KBD manakala tahun 2018 bermulanya KBD untuk menengah atas pula. Justeru itu matapelajaran diniyah dibahagikan kepada Al-Lughah Al-Arabiah Al-Muassirah, Al-Usuluddin dan Al- Syariah. Untuk menengah atas ditambah pula matapelajaran Manahij Al-Ulum Al-Islamiyah dan Al-Adab wa Al-Balaghah bagi kelas dini tulen. Mulai 2018 terdapat 3 aliran untuk tingkatan 4 iaitu aliran KBD Sains tulen, KBD Tulen dan KBD Sastera.

                                             (Sumber rujukan Majalah Al Azhar 1998)

SMA ASSAIYIDAH KHADIJAH

Author & Editor

0 comments:

Post a Comment